Tuesday, June 9, 2009

Lambaian Kaabah

Warga Pernim berpeluang ke tanah suci CHERAS BARU –

Yang Dipertua Persatuan Kebaji-kan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim), Norlina Alawi terus gigih untuk memastikan kebahagiaan golongan terbabit.

Program Lambaian Kaabah bakal dijalankan bermula 1 Jun ini iaitu beliau akan membawa anak-anak Pernim secara berperingkat-peringkat untuk mengerjakan umrah dan haji.

Menurut Norlina, program itu difikirkannya wajar kerana dengan cara berkenaan ia dapat mencari keredhaan Ilahi dalam memastikan anak-anak Pernim merasa semua nikmat seperti insan lain walaupun mereka sering dipinggirkan.

“Saya sanggup lakukan semua ini hanya untuk anak-anak Pernim kerana ini adalah amanah Allah SWT dan saya tidak boleh mensia-siakan mereka. “Tujuan lain saya mahu membawa mereka adalah untuk meningkatkan taraf anak-anak Pernim ini agar mereka semakin berjaya walaupun mereka dalam kalangan yatim piatu, penghidap HIV mahupun yang terbiar,” katanya pada Majlis Perasmian Butik Norlina di sini.

Beliau berkata, Pernim kini dihuni serama 70 orang yang terdiri daripada anak-anak pesakit HIV / Aids, anak yatim dan remaja yang dibuang keluarga dan tiada tempat tinggal. "Kos perbelanjaan bulanan Pernim kini mencecah RM50,000 sebulan termasuk kos tempat tinggal, makan, pakaian dan persekolahan mereka.

"Walaupun begitu saya bersama suami, Mejar Roslan Zakaria tetap gigih untuk membesarkan mereka sehingga berjaya," katanya.

Dalam pada itu kini Norlina melangkah maju dengan membuka Butik Norlina yang menjual pakaian dan produk kesihatan serta kecantikan. Norlina berkata, butik berkenaan adalah untuk penghuni Pernim di mana beliau mahu mereka menjana pendapatan sendiri dan tidak mengharapkan ihsan daripada orang ramai, “Selama hari ini pun kami berdiri di atas kaki sendiri dan tidak mendapat mana-mana peruntukan atau dana daripada jabatan yang ada,” katanya.

"Butik ini akan dikendalikan secara penuh oleh anak-anak Pernim kerana saya mahu mereka membuktikan bahawa mereka juga mampu berdikari," katanya.

(Petikan dari Sinar Harian)